MFL nafi Liga M 2021 dibatalkan - Utusan Malaysia

MFL nafi Liga M 2021 dibatalkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menafikan laporan bahawa Liga Malaysia (Liga M) 2021 akan dibatalkan seperti yang tersebar dalam laman sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan berkata, penganjur Liga M itu sedang berusaha memastikan kalendar bola sepak Malaysia berjalan dalam tempoh pandemik Covid-19.

Kata Ab Ghani, pihaknya dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Majlis Sukan Negara (MKN), dan masing-masing sedang melihat mekanisme terbaik menjalankan Liga Malaysia  2021 selaras amalan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya lagi, sama seperti peminat bola sepak tempatan yang lain, beliau juga mahu Liga M musim ini diteruskan.

Bagaimanapun kata Ab. Ghani, beliau kecewa selepas melihat laporan-laporan palsu mengatakan Liga M terpaksa dibatalkan sekali gus ia memberikan impak negatif kepada pihak penaja selain agensi-agensi kerajaan yang tampil membantu MFL dalam menjayakan perancangan liga tempatan.

“Pertama, saya mahu menafikan laporan mengatakan Liga Malaysia musim 2021 dibatalkan dan Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd. Amin mengesahkan tidak membuat kenyataan kepada mana-mana media akhbar atau blog tempatan.

“Untuk makluman, MFL telah mengadakan mesyuarat dalam talian bersama Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

“Dalam mesyuarat itu, MFL dan MSN masing-masing membincangkan serta mengkaji mekanisme-mekanisme pelaksanaan Liga Malaysia musim 2021 dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Mesyuarat itu diadakan sebagai usaha memastikan perjalanan kalendar bola sepak Malaysia berjalan seperti yang dirancang selaras amalan SOP yang ditetapkan oleh KKM.

“Saya berasa kesal dengan segelintir pihak yang cuba mengagalkan usaha keras kami untuk memastikan Liga Malaysia musim 2021 berjalan seperti biasa melalui perkhabaran palsu ini,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Dalam masa yang sama,  Ab. Ghani mendedahkan MFL akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kalendar liga tempatan bagi musim 2021 pada minggu depan.

“Perubahan daripada jadual itu dijangka berlaku berikutan penguatkuasaan PKP dan itu tidak boleh dinafikan tetapi pembatalan Liga Malaysia musim 2021, Insya-Allah tidak akan terjadi,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya