Mayat lelaki hampir reput di dalam rumah - Utusan Malaysia

Mayat lelaki hampir reput di dalam rumah

ANGGOTA bomba memecahkan pintu sebuah rumah di Blok Lone Pine, Ayer Itam, Georgetown, Pulau Pinang sebelum menemukan mayat lelaki tanpa identiti hampir reput di dalam bilik tidur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Mayat seorang lelaki yang belum dikenal pasti identitinya ditemukan hampir reput di dalam bilik tidur sebuah rumah di Blok Lone Pine, Ayer Itam, di sini hari ini.

Mayat lelaki yang berseluar pendek dan tidak berbaju itu dijumpai anggota bomba dalam keadaan terbaring di atas tilam.

Difahamkan, penduduk perumahan terbabit sebelum itu menghubungi anggota polis selepas menghidu bau busuk dari rumah berkenaan sejak awal pagi ini.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong, Shahrul Fitri Md. Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan untuk membuka pintu rumah yang terkunci daripada polis pukul 11.01 pagi dan tiba di lokasi kurang 10 minit kemudian.

Menurutnya, anggota kemudian bertindak memecahkan pintu rumah berkenaan menggunakan peralatan khas.

“Sebaik sahaja pintu dibuka, kami menemukan mayat lelaki tanpa sebarang identiti di bilik tidur rumah tersebut.

“Melihat keadaan mayatnya, kami percaya lelaki itu sudah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu. Mayat itu kemudian diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, operasi menyelamat mangsa tamat sepenuhnya pada pukul 11.16 pagi ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN