Keseronokan 39 individu 'berpesta' ketika PKP bawa padah

Keseronokan 39 individu ‘berpesta’ ketika PKP bawa padah

ANTARA individu yang ditahan polis di sebuah premis yang dijadikan sebagai pusat hiburan di Bestari Jaya, Kuala Selangor, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Keseronokan 39 individu ‘berpesta’ di sebuah premis yang dijadikan sebagai pusat hiburan di Bestari Jaya di sini terhenti apabila diserbu polis, semalam.

Tindakan suspek berusia 21 hingga 43 tahun yang jelas mengingkari prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu memakan diri apabila ditahan kira-kira pukul 12.15 tengah malam.

Difahamkan, bagi mengelak dihidu pihak berkuasa, premis itu dikelilingi pagar batu manakala bangunan hadapannya dijadikan restoran.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, serbuan itu dijalankan hasil risikan pihaknya mengenai aktiviti berkenaan sejak dua minggu lalu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati premis ini dijadikan sebagai pusat hiburan yang dijaga seorang lelaki warga Bangladesh.

“Selain 10 wanita warga asing, kita juga menahan 24 lelaki dan empat wanita tempatan ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, tindakan kompaun dikenakan ke atas warga tempatan kerana gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

“Kita turut merampas peralatan karaoke dan semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk tindakan lanjut.

“Ujian saringan air kencing mendapati 16 daripada suspek ditahan positif dadah. Buat masa ini, kita sedang mengesan pemilik premis bagi membantu siasatan,” katanya.

Tambahnya, kes antaranya diklasifikasikan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1953 dan Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan 1995.

“Selain itu, kes disiasat di bawah Seksyen 55 (B), 39 (B) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/ 63,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya turut menahan lapan lelaki kerana memiliki daun ketum di sebuah premis di Jalan Raja Musa di sini, kelmarin.

“Dalam serbuan pukul 11 malam itu, kita merampas daun ketum seberat 39 kilogram (kg) dalam beg plastik dan peralatan memasak daun ketum. 

“Rampasan dianggarkan berjumlah RM2,500 dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya