KUALA LUMPUR: Pasangan beregu wanita muda negara, Pearly Tan-M.Thinaah melakar kejutan besar dengan menyingkirkan pilihan keenam, Chang Ye Na-Kim Hye Rin untuk mara ke pusingan kedua kejohanan badminton Terbuka Thailand hari ini.
Dalam aksi di Bangkok itu, mereka bekerja keras hingga ke set penentuan untuk menyingkirkan pasangan Korea Selatan tersebut 16-21, 21-15, 27-25.
Kejayaan itu menyaksikan Pearly-Thinaah akan bertemu Vimala Heriau-Margot Lambert dari Perancis bagi memburu slot suku akhir kejohanan berstatus Siri Jelajah Dunia Super 1,000 yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$1 juta (RM4.04 juta) itu.
Thinaah berkata, perubahan strategi permainan pada set kedua selain pertahanan kemas membolehkan mereka meraih kemenangan dalan perlawanan itu.
“Kemenangan ini adalah pemangkin semangat kami dan berharap momentum ini dapat diteruskan agar kami dapat mara lebih jauh dalam kejohanan ini,” katanya.
Turut mara pasangan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang menewaskan pasangan Kanada, Rachel Honderich-Kristen Tsai 21-17, 21-16.