Hilang kerja serentak, 4 beranak tinggal di bangsal  - Utusan Malaysia

Hilang kerja serentak, 4 beranak tinggal di bangsal 

Mohd. Saufi ibrahim , 41, dan Dahlia Musliman, 48, bersama dua anak mereka bergambar di depan bangsal didiami di Kampung Mek Mas di Kota Bharu pada 30 Januari 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Sepasang suami isteri yang diberhentikan kerja serentak tanpa notis apatah lagi pampasan tahun lalu terpaksa membawa dua anak tinggal di sebuah bangsal di Kampung Mek Mas di sini dua bulan lalu.

Mohd. Saufi ibrahim , 41, dan Dahlia Musliman, 48, tiada ikhtiar lain untuk mencari tempat berteduh selepas dihalau dari rumah sewa selepas  empat bulan tidak membayar sewa.

Selain tiada pampasan, syarikat perlombongan pasir yang menjadi majikan mereka juga didakwa tidak membayar gaji selama empat bulan kepada Mohd. Saufi dan Dahlia.

Menurut Dahlia, semasa bekerja, dia berjawatan kerani dengan gaji bulanan RM1,500 manakala suaminya sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM1,400.

Katanya, sebelum ini, mereka bersama dua anak perempuan, Nur Dhiyalissyha, 7, dan Nur Dheyalina, 6, tiada masalah kewangan teruk tetapi nasib keluarga berubah selepas diberhenti kerja serentak.

“Suami dan anak-anak pernah menumpang di pos pengawal di syarikat lama kami bekerja selama lima hari sementara mencari tempat tinggal lain. Itu sahaja cara yang kami ada ketika itu sebelum pulang ke kampung dan mendirikan bangsal di atas tanah kerajaan berhampiran rumah ibu mertua saya.

“Kami membina bangsal ini atas belas ihsan rakan dan penduduk kampung yang menyumbangkan kayu palet dan zink. Bahagian lantai pula dibuat daripada batu blok dan keseluruhan bangsal siap dalam masa dua hari,” katanya ketika ditemui  di bangsal mereka semalam.

Menurut Dahlia, meskipun ruang sempit dan tidak selesa, dia tetap bersyukur sekurang-kurangnya keluarga mempunyai tempat berteduh tanpa perlu menumpang di rumah orang lain.

Katanya, suaminya kini bekerja dengan membantu nelayan dengan upah  RM20 sehari bergantung kepada keadaan ombak dan cuaca.

Selain itu, suaminya juga  menjaga tujuh ekor kambing baka kampung, Boer, Kalhari dan Janapari oleh sepupunya.

“Kambing itu diternak secara pawah iaitu apabila kambing beranak, anak kambing akan diambil secara bergilir-gilir dengan sepupunya itu. Setakat ini, kami masih menunggu kelahiran kedua anak kambing yang bakal menjadi milik kami.

“Alhamdulillah, suami saya menjaga kambing-kambing itu dengan baik di dalam sebuah kandang,” katanya.

Ditanya makanan harian keluarga itu, Dahlia, suami dan anak- anaknya tidak terlalu memilih dan cukup sekadar hidangan nasi goreng dengan telur, selain nasi putih dimakan dengan ulam-ulaman yang ditanam sendiri dan dicicah budu.

Menurutnya, dia hanya akan membeli ayam untuk dimasak sekiranya kedua-dua anak teringin untuk makan nasi bersama lauk-pauk lain.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Hong Leong menerusi akaun 12451082558 atas nama Dahlia Musliman atau hubungi wanita itu di talian 011-3333 9644. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya