TAIPING: Dua penjenayah Geng Kattu ditahan kerana melakukan banyak kes samun di daerah ini termasuk mencuri burung dan basikal dalam operasi khas polis pada 15 hingga 17 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, dua lelaki itu juga dikesan melakukan jenayah pecah rumah dan kedai sehingga menakutkan masyarakat daerah ini.
Menurut beliau, polis yang melancarkan Ops Tahun Baru Khas Geng Kattu berjaya menahan dua suspek tersebut dan masih memburu ahli-ahli lain.
“Dengan tertangkapnya dua suspek masing-masing berumur 24 tahun, polis berjaya menyelesaikan 14 kes jenayah melibatkan kumpulan berkenaan,” kata beliau di sini hari ini.
Osman berkata, Geng Kattu dipercayai aktif melakukan jenayah sejak awal tahun lalu dan menjadi penyumbang utama dalam kes jenayah indeks di Taiping .
Beliau berkata, modus operandi ialah menyasarkan perumahan sunyi dan tidak berpenghuni sebelum melakukan jenayah pada waktu malam dengan bersenjatakan parang.
Jelasnya, polis merampas sebahagian barang kes yang dilaporkan hilang serta alatan digunakan untuk melakukan jenayah.
“Antaranya sebuah motosikal Yamaha 135LC, sebuah basikal berserta aksesori, seekor burung tiong emas, seekor burung bayan, dua ekor burung murai batu, empat sangkar burung, satu set alat pembesar suara berserta sistem bunyi, satu mesin rumput, enam telefon bimbit dan tiga bilah parang,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah membabitkan kes dadah dan empat kes jenayah lain.
Mereka direman sehingga 21 Januari ini dan akan disambung untuk siasatan penglibatan kes- kes jenayah lain.- UTUSAN