JOHOR BAHRU: Polis menahan 15 suspek dan merampas dadah bernilai RM125.8 juta dalam 16 serbuan di sekitar bandar raya ini pada Sabtu dan Ahad lalu.
Antara dadah dirampas ialah syabu seberat 72.61 kilogram (kg), 12.81kg serbuk ekstasi dan 5.44kg ganja.
Rampasan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri ini dilakukan di empat premis iaitu dua buah rumah sewa dan dua makmal memproses dadah jenis erimin 5.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, 15 individu yang ditahan membabitkan lapan lelaki dan tujuh wanita, kesemuanya berusia 17 hingga 62 tahun termasuk ketua sindiket yang berusia 30-an.
“Sindiket ini dipercayai beroperasi setahun lalu. Modus operandi sindiket ialah menyewa rumah untuk dijadikan stor penyimpanan dan makmal memproses dadah.
“Makmal dadah itu dipercayai mampu menghasilkan 3,000 biji pelbgai jenis pil dadah dalam masa sejam dan menghasilkan lebih 300,000 biji pil dalam masa kurang tiga hari,” katanya pada sidang akhbar di IPK Johor hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat.
Menurut beliau, polis turut merampas 3.72 juta pil eramin 5; 397,905 pil ekstasi, empat gram (g) heroin, 28g ketamin, 8.5kg jus mangga dan 969.15kg serbuk disyaki dadah.
Razarudin berkata, kesemua rampasan dipercayai mampu menampung kegunaan seramai 5.4 juta orang penagih bagi pasaran tempatan dan tidak menolak kemungkinan ia juga dipasarkan ke pasaran antarabangsa.
Menurut beliau, sindiket itu aktif ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu kerana pada waktu itu pintu sempadan dan kawasan perairan negara dikawal ketat hingga mengekang kemasukan bekalan dari luar negara.
“Disebabkan sekatan serta mendapat permintaan tinggi, sindiket ini memproses dadah sendiri dan daripada maklumat yang kita dapat, sebelum ini ketamin diseludup masuk dari luar negara.
“Kita percaya sudah menahan kesemua ahli sindiket termasuk dalangnya, namun kita juga akan menjalankan siasatan untuk mengesan sama ada ‘kingpin’ atau ‘mastermind’ yang terlibat atau saki baki sindiket berkenaan,” katanya.
Dalam serbuan sama, polis menyita enam mesin dan peralatan memproses dadah dan precursor serta merampas 13 buah kereta mewah, sebuah motosikal jenis Kawasaki, wang tunai RM2.28 juta, pelbagai wang mata asing bernilai RM284,000, jongkong emas 1kg, empat utas jam tangan jenama rolex dan pelbagai jenis barang kemas dengan nilai keseluruhan RM5.43 juta.
Katanya, tiga suspek yang ditahan positif dadah jenis methamphetamine manakala hasil semakan mendapati tiga suspek ada rekod bersabit dadah, senjata api dan ugutan jenayah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Ahad hingga Sabtu ini. – UTUSAN