KULIM: Polis menahan empat ahli kumpulan sindiket termasuk seorang wanita dan merampas pelbagai jenis dadah seberat kira-kira 70 kilogram yang bernilai bernilai RM3.67 juta selepas melakukan serbuan di tiga lokasi di daerah ini pada pada Rabu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, polis melakukan serbuan di tiga lokasi tersebut yang dipercayai menjadi tempat pembungkusan dadah secara serentak pada pukul 10.45 pagi.
Menurutnya, empat suspek yang ditahan dalam serbuan itu berusia antara 32 hingga 33 tahun.
Katanya, nilai rampasan dadah tersebut adalah yang terbesar di Kedah pada tahun ini.
“Hasil serbuan itu, polis merampas dadah jenis ekstasi seberat 11.18 kilogram (kg), ketamin (17.8 kg), erimin 5 (20.22 kg), minuman jus (20.15 kg) dan dadah mushroom (410 gram),” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di sini hari ini.
Beliau berkata, dadah yang dirampas itu dipercayai untuk pasaran tempatan di Kedah dan Pulau Pinang serta dadah berkenaan boleh dibekalkan untuk kegunaan 198,036 orang.
Jelasnya, serbuan itu dilakukan hasil siasatan yang dijalankan sepasukan anggota dan pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Narkotik Kedah berdasarkan beberapa tangkapan awal sebelum ini.
“Sindiket berkenaan dipercayai mulai aktif sejak September 2020 dan mempunyai kaitan dengan serbuan yang dilakukan di Selangor pada tahun lepas,” katanya.
Tambahnya, polis juga mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucutan Harta) 1952 dengan menyita aset sindiket itu yang dianggarkan bernilai RM484,400.
“Nilai sitaan itu melibatkan lapan buah kereta pelbagai jenama serta sebuah motosikal berkuasa tinggi bersama wang tunai berjumlah RM4,000.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan aset tersebut pula ialah RM4.2 juta,” ujarnya.
Sementara itu, katanya, dua daripada empat suspek yang ditahan itu positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.
Tambahnya, kesemua suspek kini direman tujuh hari bermula 27 Januari lalu untuk siasatan lanjut dan akan didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN