KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bersama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membantah dan menolak pekeliling Perkhidmatan 6 serta 7 yang dikeluarkan baru-baru ini.
Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata, bantahan itu kerana pekeliling perkhidmatan tersebut dikeluarkan tanpa berunding dengan pihak pekerja terlebih dahulu.
“Kerajaan sewajarnya berunding dengan pihak pekerja terlebih dahulu sebelum mengeluarkan pekeliling perkhidmatan tersebut,” katanya di sini hari ini.
Menurut Adnan, semangat yang dikeluarkan pekeliling itu menghakis peranan golongan pekerja malah menidakkan perkara-perkara yang telah pun kerajaan setuju walaupun tidak sepenuhnya dalam retifikasi konvensyen International Labour Organization (ILO) No 98.
“Jika kerajaan gagal dan terus ingin menguatkuasakan pekeliling ini, kami mohon agar kerajaan menerima retifikasi konvensyen ILO No 98 sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, pihaknya menyokong keputusan Cuepacs kerana sewajarnya setiap berlakunya perubahan hendaklah diadakan rundingan terlebih dahulu.
“Kami menyokong dan menolak sebarang pelaksanaan tanpa rundingan”, katanya. – UTUSAN ONLINE