Bomba Johor perlu 32 bot kecil hadapi bencana banjir - Utusan Malaysia

Bomba Johor perlu 32 bot kecil hadapi bencana banjir

YAHAYA Madis (kanan) mendapatkan maklumat daripada anggota bomba yang terlibat dalam operasi sanitasi yang dijalankan secara bersepadu antara JBPM Johor dan MBJB bagi mencegah penularan Covid-19 di Pasar Borong Pandan, Johor Bahru, Johor. -UTUSAN/ RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor memerlukan sekurang-kurangnya 32 unit bot kecil dan ringan untuk digunakan semasa bertugas menghadapi bencana banjir khususnya melibatkan kawasan kediaman.

Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, operasi menyelamat mangsa banjir yang dilakukan selama ini menggunakan bot aluminium bersaiz besar.

Kata beliau, saiz bot berkenaan menyukarkan anggota memasuki kawasan kediaman khususnya perumahan penduduk yang kebanyakannya agak sempit untuk dilalui bot sedia ada.

“Buat masa ini kami mempunyai 34 unit bot alumunium saiz besar yang boleh memuatkan lapan orang. Bot ini sesuai digunakan untuk meredah arus deras banjir di kawasan luas.

“Namun apabila melibatkan kawasan sempit, kami berdepan kesukaran. Perkara ini boleh dilihat apabila terdapat anggota bomba terpaksa mendukung mangsa atau menggunakan pelampung dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat operasi sanitasi yang dijalankan secara bersepadu antara JBPM Johor dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Pasar Borong Pandan, di sini hari ini.

Ujar Yahaya, pihaknya akan membuat permohonan itu kepada Ibu Pejabat JBPM bagi membolehkan setiap 32 balai bomba dan penyelamat di negeri ini memiliki sekurang-kurangnya sebuah bot bersaiz kecil.

Menurut beliau lagi, bot bersaiz kecil akan memudahkan anggotanya melakukan tugas menyelamat dengan lebih efektif apabila melibatkan mangsa yang uzur dan kanak-kanak.

Sementara itu, Yahaya berkata, pihaknya sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi sebarang bencana khususnya melibatkan kebakaran dan kemalangan walaupun dalam musim pandemik Covid-19 ketika ini.

“Memang benar bomba kini banyak melakukan tugas sanitasi bagi mengekang penularan pandemik Covid-19, namun itu tidak mengganggu tugas kami yang lain.

“Sekiranya terdapat panggilan kecemasan, perkara itu akan menjadi keutamaan manakala operasi sanitasi akan terus berjalan seperti dirancang,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN