MERSING: Seramai 20 individu termasuk dua bayi perempuan terperangkap di Kampung Semaloi, Endau di sini setelah jalan masuk ke kampung sudah dinaiki air sejak tengah malam tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau, Mohd. Alias Hussin berkata, seramai tujuh anggota ditugaskan ke tempat kejadian setelah menerima panggilan kecemasan itu pada pukul 3.23 pagi ini.
Katanya, sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda dari Balai Bomba dan Penyelamat Endau digunakan dalam operasi mengeluarkan mangsa yang terperangkap.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati berlaku banjir di lokasi dan seramai 20 mangsa yang terperangkap di lokasi tersebut.
“PKO bertindak membantu mengeluarkan semua yang turut dibantu sebuah pacuan empat roda Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kampung itu dan dipindahkan ke tempat yang lebih selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Alias berkata, semua mangsa yang diselamatkan dihantar ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Air Tawar dan PPS SK Labong.
Katanya, mangsa yang diselamatkan terdiri daripada 15 dewasa, dua warga emas, seorang kanak-kanak lelaki dan dua bayi perempuan.
Operasi menyelamatkan ditamatkan kira-kira tiga jam kemudian pada pukul 5.18 pagi setelah memastikan keadaan terkawal. – UTUSAN ONLINE