2,000 kenderaan rentas Kedah-Perlis setiap hari - Utusan Malaysia

2,000 kenderaan rentas Kedah-Perlis setiap hari

SURINA SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kira-kira 2,000 kenderaan merentas dari Kedah ke Perlis setiap hari yang sebahagian besarnya melalui sekatan jalan raya (SJR) di Sanglang.

Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, mereka yang merentas negeri terdiri daripada yang tinggal di Kedah tetapi bekerja di negeri ini.

Katanya, polis tidak menerima banyak kenderaan yang cuba masuk ke negeri ini tanpa surat kebenaran merentas negeri atau alasan munasabah dengan purata kenderaan diarah berpatah balik hanya antara lapan hingga 10 buah setiap hari.

“Sempadan negeri memang tidak dibenarkan keluar tanpa alasan yang munasabah. Bagi kawasan di pekan Kuala Sanglang, mereka yang tinggal di sempadan Perlis memang tidak boleh merentas negeri untuk membeli barangan di sempadan, sebaliknya harus memilih kedai di sebelah sini sahaja.

“Bagaimanapun, bagi individu seperti guru atau pelajar yang bersekolah di Kuala Sanglang, Perlis, rentas negeri dibenarkan namun perlu mendapatkan surat dari sekolah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, beliau memberitahu, sebanyak empat SJR sempadan daerah akan dibuka menjelang tengah malam ini apabila berkuat kuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini.

Katanya, SJR tersebut ditempatkan di jalan keluar masuk sempadan daerah Arau-Padang Besar dan sempadan keluar masuk Kangar-Arau menjadikan keseluruhan 11 SJR di negeri ini iaitu empat SJR sempadan negeri dan tiga SJR Op Benteng sempadan negara.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, polis mengeluarkan sebanyak 52 kompaun bagi individu yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) sejak awal bulan hingga kini.

“Kesalahan termasuk tidak memakai pelitup separuh muka, tiada penjarakan fizikal dan berkumpul dalam kumpulan yang ramai.

“Kompaun ini kebanyakannya dikeluarkan di kawasan tumpuan orang ramai, pasar raya dan kawasan peranginan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN