KUALA LUMPUR: Dua wakil negara berjaya melangkah ke suku akhir kejohanan badminton Terbuka Thailand, sebentar tadi.
Pasangan beregu lelaki profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin menjadi wakil pertama layak ke suku akhir kejohanan bertaraf Siri Jelajah Dunia Super 1,000 dengan menyingkirkan wakil Amerika Syarikat (AS), Philip Chew-Ryan Chew 21-9, 21-12.
Kejayaan itu menyaksikan mereka bakal berdepan cabaran pilihan keenam dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin.
Turut mara pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang menewaskan pasangan Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek 21-18, 21-13.
Keputusan itu menyaksikan Peng Soon-Liu Ying akan berdepan pilihan utama yang juga wakil tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai yang menewaskan Goh Soon Huat-Shevon Lai 20-22, 21-18, 21-12.
Terbuka Thailand yang juga kejohanan pertama tahun ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$1 juta (RM4.04 juta).