UMNO dicabar kemuka undi percaya kepada Hasni - Utusan Malaysia

UMNO dicabar kemuka undi percaya kepada Hasni

SALAHUDDIN AYUB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: UMNO dicabar mengemukakan usul undi percaya kepada Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad untuk membuktikan kepemimpinannya benar-benar bertahan dan bermaruah untuk terus mentadbir negeri.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, usul berkenaan dapat membuktikan keabsahan sokongan wakil-wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sama ada masih kekal menyokong kerajaan PN Johor atau sebaliknya.

“Susulan daripada beberapa perkembangan menarik berkaitan politik tanah air khususnya di Parlimen dan terkini di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, saya merasakan isu keabsahan sesebuah kerajaan itu telah mula menjadi perhatian rakyat di negara ini.

“Adalah penting untuk rakyat melihat adakah kerajaan yang ada pada hari ini, sama ada di peringkat Persekutuan ataupun negeri memiliki keabsahan itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan majoriti daripada ADUN Perak dalam undi usul percaya terhadap dalam sidang DUN Perak.

Dalam undian daripada 59 ADUN, sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya manakala satu undi rosak atau berkecuali.

Salahuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram berkata, esok merupakan hari terakhir Sidang DUN Johor untuk meluluskan Belanjawan Johor 2021.

“Besar kemungkinan sesuatu yang penting akan berlaku esok semasa hari terakhir sesi penggulungan belanjawan negeri yang mungkin akan memanaskan lagi suhu politik kerajaan PN di negeri Johor,” ujarnya.

Kedudukan Hasni sebagai Menteri Besar sama ada tergugat atau sebaliknya akan ditentukan menerusi pengundian Belanjawan Johor 2021 yang bakal berlangsung dalam Sidang DUN Johor esok.

DUN Johor kini memiliki 56 kerusi dengan agihan sebelum ini adalah UMNO dan DAP masing-masing 14, Bersatu (12), MIC (dua), PAS (satu), Amanah (9) dan PKR (empat).

Ia menjadikan kerajaan PN mempunyai 29 kerusi berbanding Pakatan Harapan (PH) 27 kerusi, manakala majoriti mudah bagi membentuk kerajaan baharu di Johor ialah 29 kerusi.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya