Tiada tempat sesuai di Bentong tempatkan pesakit bukan warganegara - Utusan Malaysia

Tiada tempat sesuai di Bentong tempatkan pesakit bukan warganegara

ANGGOTA keselamatan memasang kawat besi di sebuah apartment yang diduduki warga asing di Genting Highlands, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Tiada tempat sesuai di Bentong bagi menempatkan pesakit bukan warganegara yang positif Covid-19 dari daerah itu membabitkan kluster Amber Court Apartment, Ria Apartment dan Rumah Kongsi Kampung Semaut.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang, Mohd. Zairasyahli Shah Zakaria berkata, setakat ini, tempat seperti Institut Aminuddin Baki (IAB) tidak sesuai dijadikan Pusat Petugas Kesihatan dan Pihak Berkuasa bagi mengawal kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di tiga lokaliti berkenaan di sekitar Genting Highlands.

Selain itu, katanya, terdapat kira-kira 60 residen yang masih menetap dalam kawasan IAB.

“Tempat seperti di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong juga tidak sesuai kerana ia institusi pendidikan dan akan menimbulkan ancaman kepada pelajar dan ibu bapa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Zairasyahli Shah berkata, mesyuarat Pasukan Petugas Covid-19 dan kerajaan negeri bersetuju menggunakan Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) di sini sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) bagi menempatkan pesakit bukan warganegara berisiko rendah dan tidak memerlukan rawatan khusus.

Jelasnya, ia supaya situasi semasa tidak mengganggu rawatan dan perkhidmatan sedia ada di hospital-hospital kerajaan serta memberi lebih ruang kepada rakyat Pahang mendapatkan rawatan terbaik.

“Keputusan ini mengambil kira kepentingan orang ramai. Kerajaan negeri memaksimumkan tahap keselamatan dan kawalan di PKRC Sukpa supaya masyarakat setempat tidak tergugat dengan kehadiran mereka dan boleh menjalani kehidupan harian seperti biasa.

“Sukpa ditentukan sebagai PKRC sejak mula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan bertujuan menampung kapasiti hospital apabila keadaan memerlukan,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan Sukpa juga dibuat kerana kedudukan kompleks itu yang hampir dengan pusat rawatan intensif Covid-19.

Jelasnya, ia memudahkan pergerakan doktor-doktor pakar dari hospital ke Sukpa dalam jarak dan masa yang singkat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN