SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa simpati dengan keadaan kehidupan rakyat terkesan akibat pandemik Covid-19.
Titah Sultan Sharafuddin, gejala Covid-19 banyak mengubah corak kehidupan seharian sehingga memaksa rakyat untuk menerima hakikat menjalani kehidupan norma baharu dalam kehidupan seharian.
Titah baginda, pandemik tersebut membawa kesan ekonomi yang terjejas teruk bukan sahaja kepada negara, malah kepada satu dunia.
“Pandemik ini juga mengakibatkan ramai dalam kalangan rakyat beta terjejas pendapatan mereka dan ada yang kehilangan pekerjaan serta sumber pendapatan. Akibatnya, sebahagian besar rakyat beta kini menghadapi masalah kesempitan hidup dan kesukaran untuk menampung kos sara hidup seharian.
“Beta sentiasa mengambil berat dan memantau masalah rakyat dengan sering mengingatkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan kerajaan negeri agar menyelami masalah rakyat dan mencari jalan bagi mengatasi masalah ekonomi yang sedang dihadapi merek.
“Beta menyeru kepada pemimpin politik untuk turun bersama rakyat bagi mengenal pasti masalah rakyat dan berusaha keras ke arah membantu mengatasi masalah mereka terutama mereka yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19,” titah baginda sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-75 menerusi laman sosial Facebook rasmi Selangor Royal Office, di sini hari ini.
Baginda berharap rakyat terus bersabar dan tenang dalam menghadapi segala dugaan dan sentiasa berdoa agar musibah yang menimpa segera diangkat dan kembali menjalani kehidupan seperti biasa.
Sultan Selangor juga mohon agar rakyat beragama Islam untuk sentiasa berdoa dan bersolat hajat sementara bagi bukan beragama Islam untuk turut sama berdoa mengikut fahaman agama masing-masing.
“Sebagai tanda penghargaan, beta berkenan menganugerahkan bintang kebesaran dan pingat-pingat negeri Selangor sebagai menghargai jasa doktor, jururawat, kakitangan hospital serta barisan hadapan yang melaksanakan tugas mereka tanpa mengenal penat-lelah bagi merawat mereka yang dijangkiti Covid-19.
“Semoga dengan penganugerahan ini dapat menaikkan semangat petugas hadapan ini untuk meneruskan tugas mereka dengan penuh dedikasi,” titahnya.
Sultan Sharafuddin turut menitahkan agar rakyat terus menjalani kehidupan dengan penuh disiplin dalam norma baharu dan mematuhi dengan ketat segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak Kementerian Kesihatan serta pihak berkuasa. – UTUSAN ONLINE