Sultan Nazrin hargai petugas media lapor perkembangan politik Perak - Utusan Malaysia

Sultan Nazrin hargai petugas media lapor perkembangan politik Perak

WARTAWAN berkumpul di luar Istana Kinta, Ipoh semasa membuat liputan perkembangan politik di Perak sejak Jumaat lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Usaha dan kerja keras pengamal media melaporkan perkembangan terkini krisis politik di Perak mendapat penghargaan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Ucapan penghargaan itu dizahirkan baginda semasa bertitah pada Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar, hari ini.

Titah Sultan Nazrin, baginda sangat menghargai peranan pengamal media yang komited dalam menjalankan tugas bagi melaporkan perkembangan terkini kepada masyarakat.

“Beta amat menghargai petugas-petugas media yang berkampung di hadapan Istana Kinta di bawah terik panas matahari dan dibasahi hujan bagi melaksanakan tugas secara tekun lagi komited, melaporkan dan menyiarkan berita secara bertanggungjawab kepada rakyat jelata yang mengikuti perkembangan sedang berlaku.

“Demikian juga kepada para anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah membantu mengawal keadaan di mana membolehkan pelbagai pihak melaksanakan tugas masing-masing secara tenteram dan teratur,” titah baginda.

Sejak Jumaat lalu, pengamal media daripada pelbagai agensi berkampung di luar pekarangan Istana Kinta di Ipoh bagi memantau dengan rapat perkembangan terkini politik Perak.

Krisis politik Perak bermula selepas bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam undi usul percaya terhadap beliau dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN