Pelantikan tiga MB sepenggal cerminan kegagalan pemimpin - Sultan Nazrin - Utusan Malaysia

Pelantikan tiga MB sepenggal cerminan kegagalan pemimpin – Sultan Nazrin

SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Tiga kali istiadat pelantikan Menteri Besar Perak selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mencatatkan sejarah baharu yang tidak pernah berlaku dalam sesuatu penggal Dewan Negeri Perak, bukan sejarah yang mahu dibanggakan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, perkara itu tercatat dalam sejarah sebagai cerminan kegagalan dan bukannya kejayaan.

“Ia cerminan kegagalan kepemimpinan dalam kalangan ahli-ahli politik mendapat jaminan sokongan padu secara konsisten untuk membolehkan fikiran dan tenaga ditumpukan
mentadbir urus negeri secara terbaik bagi kepentingan rakyat,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian dalam Istiadat Pelantikan Menteri Besar Perak ke-14 di Istana Iskandariah, di sini hari ini.

Sultan Nazrin turut mengingatkan pemimpin bahawa semakin tinggi kedudukan seseorang, semakin jauh pandangannya dari bumi tempat kakinya pernah berpijak.

“Sifat sebenar insan akan terserlah ketika seseorang itu mendapat jawatan dan kuasa, betapa kata tidak lagi dikota atau kata akan bertukar nada, berlainan irama, bersedia mengatakan
yang hitam itu putih dan yang putih itu hitam.

“Watak sebenar insan akan terpamer apabila seseorang telah memiliki kekayaan dan harta lalu lenyapnya budaya kesederhanaan dan merendah diri di sebaliknya menjelma sifat sombong dan gelagat bongkak,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, punca kuasa yang dimiliki adalah bersumberkan Allah SWT akan mengabdikan seluruh kesetiaan kepada Ilahi.

Titah baginda, seseorang pemimpin akan cekal menegakkan yang makruf, tegas menentang yang mungkar, kekuatannya, perlindungan ke atas dirinya dan benteng ketahanan kepada dirinya datang daripada Ilahi.

“Dia tidak perlu menawarkan sogokan atau imbuhan untuk mendapat sokongan yang belum terjamin berkembar dengan kesetiaan. Begitu juga dia tidak perlu melakukan ugutan atau ancaman untuk membina kekuatan diri kerana kekuatan yang diperoleh secara demikian teramat rapuh sifatnya,” titah baginda.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak Ke-14 hari ini.

Saarani yang juga Pengerusi UMNO Perak menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang gagal mendapat kepercayaan dalam undi percaya terhadap beliau dalam Sidang DUN pada Jumaat lalu.

Ahmad Faizal yang melaksanakan tugas Menteri Besar sejak 12 Mei 2018, setelah dua kali mengangkat sumpah jawatan iaitu pada 12 Mei 2018 dan dan kali kedua pada 13 Mac 2020. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN