Mayat Loqman ditemukan di Bera - Utusan Malaysia

Mayat Loqman ditemukan di Bera

ALLAHYARHAM LOQMAN HAMKA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Berkat doa kedua ibu bapa yang tidak putus-putus mengharapkan jasad anak dapat dikebumikan di tanah perkuburan, mayat Loqman Hamka, 20, ditemukan hari ini walaupun operasi pencarian ditamatkan semalam.

Sebelum ini, bapanya, Hamka Abu Bakar, 62, menyatakan, meskipun reda dia dan isterinya Rohaya Ismail, 56, sentiasa berdoa agar mangsa dapat ditemukan kerana ingin mengkebumikan anak bongsu mereka di tanah perkuburan.

Difahamkan, mayat Loqman ditemukan seorang penduduk kampung yang kebetulan memancing di sungai berhampiran Kampung Batu Papan, Bera, dekat sini.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohd. Sobri Mohd. Salleh berkata, mayat mangsa ditemukan kira-kira pukul 7.45 pagi iaitu 34 kilometer dari pusat operasi di Kampung Tebing Tinggi di sini.

“Berdasarkan maklumat, mayat mangsa ditemukan terapung dalam keadaan sempurna dan berpakaian,” katanya di sini hari ini.

Pada 30 November lalu, Loqman yang keluar menaiki bot bagi melihat rawai yang dipasang di Sungai Pahang dikhuatiri lemas.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, bot dinaiki mangsa ditemukan hanyut oleh penduduk kampung di sungai berkenaan berhampiran Kampung Kuala Kunjan, di sini.

Susulan kejadian itu menyaksikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli menyertai operasi pencarian pada 3 Disember lalu di sekitar Kampung Tebing Tinggi.

Menurut Mohd. Sobri, mayat mangsa diserahkan kepada polis dan dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, katanya, lokasi mayat mangsa ditemukan iaitu selepas Jambatan Baharu Guai adalah antara lokasi pencarian sebelum ini.

Katanya, operasi yang dilakukan sebelum ini dibuat sehingga 52 kilometer iaitu sehingga ke kawasan Chenor, Maran. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya