PORT DICKSON: Seorang lelaki ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di sebuah rumah kayu di Jalan Lama di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada pukul 11.18 malam yang memaklumkan terdapat seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah rumah kayu.
“Saksi yang berada berdekatan di tempat kejadian memberitahu mendengar bunyi bising seperti orang sedang meronta-meronta dan semasa saksi sampai terdapat seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Saksi kemudian menelefon polis untuk makluman dan menghubungi hospital, pasukan perubatan mengesahkan lelaki itu meninggal dunia lebih kurang pukul 11.10 malam,” katanya.
Aidi Sham berkata, hasil siasatan lanjut mendapati lelaki beruusia 54 tahun itu telah bercerai dan mempunyai seorang anak yang kini tinggal bersama dengan bekas isteri.
“Menurut saksi di kuil berdekatan, lelaki yang merupakan seorang penganggur itu sebelum ini dilihat kerap berada di kawasan rumah tinggal kayu Persatuan Bulan Sabit Merah, namun tidak mengesyaki apa-apa kerana selalu berseorangan di kawasan tersebut.
“Siasatan awal polis terhadap badan mangsa mendapati tiada sebarang unsur atau perlakuan jenayah dan mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Port Dickson untuk bedah siasat,” katanya.
Beliau berkata, mangsa yang beralamat Taman Sri Pertama, Sungai Gadut di sini pernah mempunyai satu rekod jenayah berkaitan Seksyen 160 Kanun Keseksaan iaitu bergaduh.
Katanya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN ONLINE