ROMPIN: Seorang petani wanita di sini kerugian RM8,100 ditipu sindiket yang menjalankan perniagaan emas palsu secara dalam talian.
Mangsa berusia 35 tahun tertarik selepas melihat iklan jualan promosi barang kemas di Facebook pada 10 Disember lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, suspek menyiarkan iklan palsu menggunakan nama sebuah kedai emas yang benar-benar wujud.
Ujarnya, mangsa kemudian dihubungi wanita menyamar pekerja kedai emas itu melalui WhatsApp dan ditawarkan gelang emas jenis Coco seberat 21 gram pada harga RM4,600.
“Mangsa bersetuju membeli gelang tersebut dan diminta membuat bayaran ke dalam akaun seorang lelaki,” katanya di sini hari ini.
Tambah Mohd. Wazir, suspek bagaimanapun meminta mangsa menambah jumlah bayaran sebanyak RM2,000 lagi kerana berat gelang tersebut adalah 31 gram.
“Bayaran tambahan itu dimasukkan ke akaun bank milik dua individu melalui tiga transaksi pada 11 Disember lalu.
“Keesokannya, mangsa sekali lagi diminta membayar tambahan RM1,500 dengan alasan berat gelang tersebut adalah 38 gram dan empat transaksi dilakukan,” katanya.
Beliau menambah, mangsa menghubungi kedai emas itu dan bercakap dengan seorang pekerja untuk membuat semakan pembayaran.
Ujarnya, pekerja kedai emas tersebut memberitahu tidak mengetahui nombor-nombor akaun yang telah digunakan mangsa untuk melakukan pembayaran.
“Mangsa menyedari tertipu dan membuat laporan di Balai Polis Kuala Rompin (semalam). Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN