Bekas Mr. Malaysia rindu nak jumpa Malek Noor - Utusan Malaysia

Bekas Mr. Malaysia rindu nak jumpa Malek Noor

LILY KOMING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : Bekas jaguh bina badan era 90-an, Lily Koming hanya mampu pasrah mengenang nasibnya sekeluarga yang berdepan pelbagai dugaan sejak diserang penyakit angin ahmar, kira-kira enam tahun lalu.

Lily, 74, yang pernah mendapat gelaran Mr. Johor dan Mr. Malaysia suatu ketika dahulu kini mengalami kesukaran untuk berjalan kerana mengalami masalah prostat sejak empat tahun lepas.

Malah perutnya terpaksa ‘ditebuk’ untuk dipasang beg urin kerana dia sudah tidak boleh kencing secara normal.

Lily memberitahu, isterinya Zainab Mohd. Ali, 73, turut menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, sakit jantung, masalah buah pinggang dan darah tinggi selain terpaksa menjalani rawatan dialisis sejak empat tahun lalu.

Katanya, situasi bertambah buruk apabila isterinya patah tulang paha apabila terjatuh di dalam bilik di rumah mereka di Jalan Kurniawati, Kampung Kurnia dua minggu yang lalu menyebabkannya hanya mampu terlantar baring dan tidak lagi boleh berjalan.

Jelasnya, keadaan itu menyebabkan dia terpaksa menggunakan khidmat ambulans untuk menghantar isterinya ke pusat dialisis di Bandar Baru Uda bagi mendapatkan rawatan tiga kali seminggu dengan kos ambulans RM150 bagi setiap kali penghantaran.

“Sejak saya tidak lagi menjadi jurulatih di sebuah gim di Larkin dan diserang penyakit, tidak ada yang mengunjungi atau ambil tahu. Kawan-kawan pun entah hilang ke mana. Inilah baru ada yang sudi menjenguk keadaan saya.

“Saya amat bersyukur ada pihak yang sudi membantu meringankan beban kami sekeluarga. Mana tidaknya, belanja harian kami juga terhad, hanya bergantung kepada pencen Jabatan Perkhidmatan Awam yang diperoleh kira-kira RM1,000 sebulan,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, pasangan suami isteri itu menerima kunjungan wakil program Jejak Asnaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Pertubuhan Ihsan Johor.

Lily turut meluahkan rasa rindu untuk bertemu dengan rakan lamanya, Malek Noor dan Sazali Samad yang masing-masing mencipta nama dalam sukan tersebut.

Dalam pada itu, anak perempuan Lily, Liza, 39, berkata, dia menguruskan ibu bapanya yang sudah uzur itu dengan menyediakan makanan minum serta menukar lampin ibunya dari semasa ke semasa.

Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, dia bersama abang sulungnya, Zulkeflee, 54, yang tinggal bersebelahan dengan rumah ibu bapa mereka bergilir-gilir membantu mengikut kemampuan baik dari segi fizikal atau kewangan.

“Masalah yang dihadapi abang sulung saya sama seperti ibu, mempunyai penyakit yang sama dan perlu menjalani rawatan dialisis. Saya pula ada masanya terpaksa menjaga anak yang kurang upaya (OKU) kurang pendengaran hanya bergantung kepada pendapatan suami sebagai pekerja kilang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya