Bantuan secukupnya kepada penduduk terjejas PKPD - Utusan Malaysia

Bantuan secukupnya kepada penduduk terjejas PKPD

JAGDEEP SINGH DEO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan negeri memberi jaminan akan menyediakan bantuan berterusan kepada lebih 10,000 penduduk yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di flat-flat di Persiaran Paya Terubong, Relau dan Flat Desa Bistari Blok A dan B, Batu Uban di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, bekalan makanan asas adalah perkara penting yang dititikberatkan kerajaan negeri berikutan kemungkinan terdapat penduduk yang tidak dapat keluar bekerja dan terputus mata pencarian.

“Kita akan pastikan bekalan makanan kepada penduduk terlibat mencukupi dan disalurkan mengikut permohonan penduduk di kawasan terlibat.

“Bantuan juga diberikan kepada petugas-petugas barisan hadapan agar mereka boleh menjalankan tugas dengan baik,” katanya dalam sidang akhbar di sini.

PKPD di 13 blok flat di Persiaran Paya Terubong melibatkan 10,000 penduduk manakala sebanyak 2,300 penduduk terlibat di Flat Desa Bistari Blok A dan B, Batu Uban.

Menurut Jagdeep, selain bantuan kerajaan negeri, ahli dewan undangan negeri (ADUN) di kawasan yang dikenakan PKPD juga perlu memainkan peranan membantu penduduk yang terjejas.

“Terdapat peruntukan yang disalurkan kepada setiap ADUN. Ini adalah masa yang sesuai untuk mereka menggunakan peruntukan tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 36 idea dan cadangan daripada konsultan dan pemaju dari seluruh dunia disenarai pendek daripada Penang Bay Ideas Competition yang dimulakan sejak Februari lalu.

“Hanya satu cadangan terbaik dipilih oleh juri bagi pelaksanaan projek ini dan akan diumumkan pada tahun depan,” katanya.

Projek Penang Bay dibangunkan oleh Georgetown Conservation and Development Corporation (GTCDC) dan merupakan perkongsian antara kerajaan negeri dan Think City.

Projek itu merangkumi Gurney Wharf, landasan ringan, tempat pembuangan sampah Jelutong, utara George Town, projek pinggir laut timur dan pembangunan tepi laut di Butterworth. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN