2 anggota polis didakwa cabul, peras ugut pasangan kekasih - Utusan Malaysia

2 anggota polis didakwa cabul, peras ugut pasangan kekasih

DUA anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan, hari ini atas lapan pertuduhan mencabul, melakukan peras ugut dan seks oral terhadap pasangan kekasih di Pengkalan Chepa. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan mencabul, melakukan peras ugut dan seks oral terhadap pasangan kekasih di Pengkalan Chepa, awal bulan ini.

Mohd. Hanafi Mohd. Zaki, 35, dan Mohammad Izauddin Abd. Wahab, 30, didakwa secara bersama-sama bagi tiga pertuduhan.

Bagi lima lagi pertuduhan, Mohd. Hanafi didakwa secara berasingan sebanyak dua pertuduhan, manakala Mohammad Izaudin tiga pertuduhan.

Kesemua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Berdasarkan pertuduhan bersama yang pertama, Mohd. Hanafi dan Mohammad Izauddin didakwa mengarahkan seorang lelaki berusia 30 tahun melakukan kelucahan melampau terhadap wanita berusia 30 tahun.

Kesalahan itu dilakukan oleh mereka di kawasan kilang terbiar di Padang Tembak, Pengkalan Chepa kira-kira pukul 10.45 malam hingga 12 tengah malam pada 4 Disember.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, mereka didakwa mengarahkan wanita berkenaan melakukan seks oral terhadap mangsa lelaki.

Kedua-dua tertuduh juga didakwa melakukan pemerasan dengan meminta wang sebanyak RM1,250 sebagai dorongan mangsa tidak dirujuk kepada pejabat agama di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan dengan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, bagi dua tuduhan berasingan, Mohd. Hanafi didakwa mencabul mangsa wanita dan mengarahkan mangsa lelaki menanggalkan pakaian sehingga bogel dengan maksud mengaibkan kehormatannya.

Perbuatan itu dilakukan olehnya di dalam sebuah kereta jenis Honda Civic di Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa di sini kira-kira pukul 10.45 malam hingga 12 tengah malam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Bagi tiga pertuduhan berasingan, Mohammad Izauddin didakwa mencederakan mangsa lelaki dengan menumbuk belakang telinga kiri sehingga lebam, mengarahkan mangsa wanita menanggalkan pakaian hingga bogel dengan niat untuk mengaibkan kehormatan dan melakukan persetubuhan luar tabie dengan mangsa wanita.

Kejadian itu dilakukan di Jambatan Pak Nik Lah dan tempat letak kereta di sebuah masjid Padang Tembak di sini kira-kira pukul 10.45 malam hingga 12 tengah malam.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azlinawati Mohd. Arshad manakala kedua-dua tertuduh diwakili oleh peguam, Mohd. Firdaus Zainal Abidin dan Majdah Mohamad.

Mahkamah menawarkan jaminan RM20,000 kepada Mohd. Hanafi dan RM30,000 kepada Mohammad Izauddin masing-masing dengan empat penjamin bagi kesemua pertuduhan.

Kedua-dua tertuduh tidak membayar ikat jamin yang ditetapkan oleh mahkamah dan 17 Januari depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN