PASIR PUTEH: Seorang lelaki dipercayai warga asing yang ditemukan berlumuran darah serta cedera di bahagian leher mendapat rawatan di wad kecemasan Hospital Tengku Anis (HTA), di sini, petang semalam.
Ketua Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Azmir Damiri, berkata pihak polis menerima panggilan dari hospital berkenaan mengenai warga asing lelaki yang cedera parah untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, pihak hospital yang mengesyaki sesuatu terhadap pesakit itu bertindak menghubungi polis pada pukul 7.30 malam tadi.
“Saya tidak mengesahkan kecederaan itu berpunca dari pergaduhan atau disembelih. Ia masih dalam siasatan polis.
” Netizen tidak perlu membuat spekulasi tanpa bukti dan serahkan tugasan siasatan kepada polis untuk mencari fakta sebenar,”katanya ketika dihubungi pagi ini.
Azmir berkata, siasatan akan disambung sambung semula memandangkan keadaan mangsa agak parah bahagian leher dan tidak boleh bercakap.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang pengenalan diri, memiliki tatto dan dipercayai warga negara Myanmar.
Tambah beliau, pihaknya juga belum mengesahkan punca kecederaan adalah akibat dikelar ketika bergaduh sepertimana tular di WhatsApp sejak malam tadi.
“Kami perlu meneliti dan menjalankan siasatan lanjut,” tegasnya.
Malam tadi, tular satu rakaman video berdurasi 33 saat memaparkan seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah dengan leher yang cedera. – UTUSAN