Sukma Johor 2020 dibatalkan! - Utusan Malaysia

Sukma Johor 2020 dibatalkan!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Wabak Covid-19 terus merebak dan menyerang arena negara apabila kali ini Sukan Malaysia (Sukma) dan Para Sukma 2020 yang dijadualkan berlangsung di Johor pada 2021 menjadi mangsa sehingga terpaksa dibatalkan.

Perkara tersebut diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican selepas mempengerusikan Mensyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia secara dalam talian sebentar tadi.

Kata beliau, pembatalan tersebut dibuat selepas Kerajaan Negeri Johor memohon supaya Sukma dan Para Sukma yang masing-masing dijadualkan tahun depan pada 6 hingga 14 Mac serta 5 hingga 10 April dibatalkan atas pelbagai sebab.

“Sebab-sebabnya, ketidaktentuan dalam penularan wabak pandemik Covid-19 yang memasuki gelombang ketiga melanda negara ketika ini.

“Kesukaran menyediakan jaminan keselamatan kesihatan kepada hampir 30 ribu orang yang akan terlibat, baik atlet, jurulatih, pegawai sukarelawan, pengurusan dan sebagainya. Tidak mengambil kira penonton dan peminat sukan.

“Dua kali penangguhan sebelum ini telah menyebabkan peningkatan kos pengurusan selain ketidaktentuan tarikh Sukma dan Para Sukma memberi tekanan dan kekangan kepada pelaksanaan program latihan atlet negeri-negeri peserta.

“Dan kalendar beberapa temasya sukan tempatan dan antarabangsa pada 2021 juga terlalu rapat dengan beberapa tarikh penting seperti Ramadhan (13 April-12 Mei 2021), Euro 2020 yang ditangguhkan (11 Jun-11 Julai 2021), Sukan Olimpik 2021 Tokyo (23 Julai-8 Ogos 2021) dan Sukan Paralimpik (24 Ogos-5 September 2021),” katanya dalam sidang akhbar di Menara KBS di Putrajaya, hari ini.

Sukma Johor pada asalnya dijadualkan berlangsung dari 11 hingga 19 Julai ini diikuti oleh Para Sukma bermula 11 hingga 22 Ogos, tetapi terpaksa ditunda atas faktor keselamatan dan kesihatan berikutan ancaman penularan Covid-19.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mengikut sistem penggiliran Sukma dan Para Sukma 2022 sepatutnya dilangsungkan di Lembah Kelang, namun Johor melahirkan kesediaan untuk menganjurkannya.

“Johor ditawarkan semula menjadi tuan rumah Sukma dan Para Sukma buat kali ke-20 itu pada 2022. Secara amnya, Johor telah hampir 99 peratus bersedia dari segi perancangan, pengurusan, teknikal, kemudahan pertandingan dan sebagainya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya