Kerajaan timbang proklamasi darurat di Bugaya, Gerik  - Utusan Malaysia

Kerajaan timbang proklamasi darurat di Bugaya, Gerik 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya  dan PRK Parlimen Gerik berkemungkinan akan ditunda melalui proklamasi darurat sama seperti yang telah diumumkan untuk Parlimen Batu Sapi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan perkara itu berdasarkan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau menjelaskan, contohnya di Batu Sapi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berdepan dengan masalah pelantikan petugas pilihan raya yang mana sehingga 6 November lalu, hanya 143 orang sahaja yang menawarkan diri berbanding keperluan sepatutnya iaitu seramai 837 orang.

Ujarnya, Kementerian Kesihatan juga berdepan dengan kekangan untuk menyediakan pegawai dan kakitangan kesihatan bagi mengendalikan pengundi di khemah bergejala kerana kerana keperluan yang tinggi di hospital dan klinik kesihatan.

“Antara masalah di Batu Sapi ialah pematuhan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan MKN kemungkinan besar tidak dapat dipatuhi dengan sepenuhnya. 

“Atas dasar itu kerajaan berpendapat perisytiharan darurat adalah sangat tepat dan langkah yang diambil oleh Yang Dipertuan Agong adalah amat bertepatan dengan Perlembagaan, ianya bukan sekali-sekali satu tindakan yang bercanggah dengan amalan demokrasi,” katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian untuk menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) berkenaan peristiharaan darurat di DUN Bugaya di Sabah dan Parlimen Gerik di Perak.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menjelaskan, pengisytiharan proklamasi darurat bagi Parlimen Batu Sapi bertujuan mengelak PRK di kawasan berkenaan dengan mengambil kira lima faktor utama penularan Covid-19.

Pada 16 November lalu, Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman, 63, yang juga Ketua UMNO Bahagian Gerik meninggal dunia di Raub, Pahang kerana sakit jantung.

Keesokannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Manis Muka Mohd. Darah, 65, pula meninggal dunia di Hospital Gleneagles, Sabah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN