KUALA LUMPUR: Sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 hari ini kecoh selepas berlaku pertengkaran membabitkan Ahli Parlimen Bintulu, Tiong King Sing dan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.
Kekecohan bermula selepas King Sing menyifatkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebagai individu yang ‘takut mati ‘.
Menurut King Sing, ini kerana Dr. Noor Hisham tidak melawat Sabah dan meninjau situasi Covid-19 di sana.
“Beliau (Dr Noor Hisham) takut mati sebab dia tak turun di Sabah,” jelasnya.
Tindakan King Sing menyebabkan, Rayer bangun dan meminta ahli parlimen itu menarik balik kenyataan tersebut dan tidak mahu Dr. Noor Hisham `dihina’.
“Jangan hina pegawai kerajaan. Beliau (Noor Hisham) juga petugas barisan hadapan,” jerit Rayer.
Dalam masa sama, Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) menjerit dan meminta Rayer duduk.
Timbalan Speaker, Datuk Seri Azalina Othman Said kemudian meminta Rayer duduk dan memberi amaran akan mengusirnya dari Dewan Rakyat jika tidak berbuat demikian.
“Jelutong, saya beri amaran, jika tidak duduk saya akan keluarkan dari Dewan,” katanya.
Azalina kemudian mengarahkan Rayer keluar dari dewan ekoran keengganan Rayer mengikut arahan tersebut. – UTUSAN