IPOH: Keadaan banjir di Perak tidak berubah hari ini dengan jumlah penduduk yang dipindahkan seramai 378 orang, iaitu sama seperti semalam.
Mereka yang terdiri daripada 121 keluarga kini ditempatkan di empat buah pusat pemindahan sementara (PPS).
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, setakat pukul 4 petang ini, Bagan Serai masih mencatat jumlah paling tinggi penduduk pindah di dua PPS.
Menurutnya, PPS di Sekolah Kebangsaan Parit Haji Aman, Bagan Serai yang dibuka pada 20 November lalu, menempatkan 169 mangsa daripada 69 keluarga.
Beliau berkata, satu lagi PPS di Bagan Serai ialah di SK Changkat Lobak, Alor Pongsu dekat sini menempatkan 90 mangsa daripada 22 keluarga.
“PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan menempatkan 89 mangsa daripada 24 keluarga.
“Manakala PPS SK Kayan, di Manjung yang dibuka Isnin lalu, menempatkan 30 orang daripada enam buah keluarga,” katanya. – UTUSAN ONLINE