691 mangsa banjir di Kedah dipindahkan ke PPS - Utusan Malaysia

691 mangsa banjir di Kedah dipindahkan ke PPS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seramai 691 mangsa daripada 183 keluarga dipindahkan ke enam pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di daerah Kulim dan Kuala Muda dekat sini selepas kawasan tersebut dilanda banjir ekoran hujan lebat sejak petang kelmarin.

Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, sebanyak dua mukim di daerah Kulim yang terjejas iaitu Mukim Sungai Seluang dan Mukim Lunas.

“Satu PPS iaitu di Masjid Sungai Seluang dalam Mukim Sungai Seluang yang berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dibuka pada pukul 7.30 malam semalam melibatkan 106 mangsa.

“Di mukim Lunas pula, dua PPS dibuka iaitu Surau Taman Sang Kancil dan Sekolah Kebangsaan Sungai Limau yang dibuka kira-kira pukul 7 malam semalam melibatkan 150 mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, di daerah Kuala Muda pula, dua mukim yang terjejas ialah Sungai Petani dan Sidam Kiri.

“Dua PPS iaitu Masjid Al Abrar Taman Peruda dan Surau Kampung Sungai Haji Wahab dalam mukim Sungai Petani dibuka pada pukul 8 malam semalam dengan jumlah mangsa seramai 372 orang.

“Bagi mukim Sidam Kiri pula, PPS Dewan Masjid Al-Huda Kampung Jerung dibuka pada pukul 2 pagi ini membabitkan seramai 63 mangsa,” ujarnya.

Tambahnya, seramai 55 anggota dan pegawai APM terlibat dalam operasi di semua lokasi banjir tersebut.

“Cuaca di kedua-dua daerah pada ketika ini dalam keadaan cerah dan baik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN