LONDON: Jaringan pemain gantian, Jamie Vardy membantu Leicester memberi kekalahan kedua berturut-turut buat Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris pagi tadi.
Vardy memberi impak sebaik sahaja dibawa masuk pada minit ke-60, dan dia meledak gol tunggal, 10 minit sebelum tamat permainan untuk Leicester menang 1-0.
Ini kekalahan ketiga Arsenal dalam empat perlawanan Liga Perdana, manakala Leicester melonjak ke tangga keempat liga.
Vardy yang belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan betis, hanya dimasukkan oleh Rodgers ketika permainan berbaki 30 minit, dan dia memanfaatkannya untuk meledak gol keenamnya musim ini.
Penyerang 33 tahun itu memang cukup tajam di depan gawang Arsenal dan setakat ini sudah meledak 11 gol dalam 12 pertemuan Liga Perdana menentang Gunners.
“Perancangan kami ialah membawa Jamie Vardy masuk untuk membawa perubahan. Dia memberi sumbangan besar dalam perlawanan penting.
“Dia pemain kelas dunia. Saya bertuah memilikinya,” kata jurulatih Leicester, Brendan Rodgers selepas pasukannya merakam kemenangan pertama di Arsenal sejak 1973.
Arsenal kini menghuni tangga ke-10 liga selepas turut kalah 1-0 di Manchester City hujung minggu lalu. – AFP