KULIM: Seorang penganggur ditahan selepas menolak seorang anggota polis sehingga berlaku pergelutan selepas menegurnya kerana tidak memakai pelitup muka di Balai Polis Lunas di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 pagi itu, lelaki berusia 51 tahun itu juga bertindak memaki hamun dan membaling beg ke arah anggota polis terbabit.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Azhar Hashim berkata, suspek sebelum itu datang ke balai berkenaan untuk membuat laporan polis selepas berselisih faham dengan kakaknya.
“Bagaimanapun ketika hadir di balai, anggota yang bertugas telah menegur suspek kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) apabila tidak memakai pelitup muka.
“Namun suspek tidak menghiraukan teguran oleh anggota bertugas, malahan melakukan provokasi dengan mengambil beberapa gambar dengan menggunakan telefon bimbitnya di sekitar kaunter balai polis itu,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, beberapa anggota lain yang berada di balai polis itu kemudian menahan suspek.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan Perkara 10 Peraturan-Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 ingkar arahan memakai pelitup muka,” katanya.
Tambahnya lagi, suspek telah ditahan reman empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut. – UTUSAN ONLINE