GUA MUSANG: Mayat lelaki yang ditemukan terapung di Sungai Galas, di sini, petang semalam ialah Jee Meng Teng yang bekerja sebagai petugas insurans.
Mangsa berusia 55 tahun yang tinggal di Kampung Baru di sini dipercayai menghadapi tekanan hidup.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, berdasarkan siasatan, mangsa hilang dari rumah sejak awal pagi Rabu lalu.
Katanya, mangsa ada memberitahu isterinya tidak boleh tidur malam sejak empat hingga lima lalu.
“Pada malam Rabu lalu, mangsa mahu tidur awal kerana keletihan.
“Namun, kira-kira pukul 3 pagi, isterinya mendapati mangsa hilang dari tempat tidur dan cuba mencarinya gagal dikesan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang semalam, penduduk menemukan mayat seorang lelaki yang terapung di Sungai Galas, di Kampung Kolam Mas, di sini.
Mayat Meng Teng yang hanya berpakaian seluar dalam sahaja dan sudah berbau dipercayai dihanyutkan arus sungai semalaman sebelum timbul pada petang semalam.
Mohd. Taufik berkata, hasil siasatan menerusi pembedahan ke atas mayat terbabit di Hospital Gua Musang juga tiada menunjukkan sebarang kejadian tidak diingini.
Katanya, kematian itu diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut. – UTUSAN ONLINE