PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakkan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran akan dilaksanakan di Penjara Reman Pulau Pinang berkuat kuasa hari ini sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.
Jabatan Penjara dalam satu kenyataan memaklumkan, ekoran itu, prosedur operasi standard (SOP) langkah-langkah pencegahan penularan Covid-19 akan dikuatkuasakan.
Antaranya, kata kenyataan itu, larangan pergerakan fizikal masuk dan keluar dari Penjara Reman Pulau Pinang akan di perketatkan manakala kawalan keluar masuk bersyarat bagi anggota yang bekerja akan dilaksanakan.
“Perjumpaan lawatan keluarga, peguam kedutaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak luar adalah tidak dibenarkan sama sekali.
“Aktiviti-aktiviti seperti kursus, komuniti, sukan, riadah, majlis keraian di dalam kawasan penjara dan kuarters adalah dilarang sama sekali,” demikian menurut kenyataan itu.
Selain itu, tambahnya, pelaksanaan ‘lockdown’ sepenuhnya akan dilaksanakan ke atas blok-blok penempatan banduan yang positif Covid-19. – UTUSAN ONLINE