BALIK PULAU: Kolej Vokasinal Balik Pulau (KVBP) sedang mempromosi pengambilan penuntut Tahun 1 Sijil Vokasional Malaysia (SVM) bagi sesi pengajian tahun depan.
Pengarahnya, Harunarasid Mohd. Yusoff berkata, KVBP menawarkan tiga program pengajian iaitu Program Teknologi Elektrik, Teknologi Elektronik serta Program Rekabentuk Grafik dan Media Cetak.
Katanya, Program Teknologi Elektrik menawarkan Kursus Kemahiran Penuh SKM Tahap Dua, Pemasangan dan Penyelenggaraan Elektrik Satu Fasa.
“Kursus yang ditawarkan ini mendapat pengiktirafan daripada Malaysian Qualification Agency (MQA) manakala bagi Program Teknologi Elektrik dan Program Teknologi Elektronik pula daripada Malaysian Board of Technologists (MBOT) serta MQA.
“Penuntut yang menamatkan pengajian dianugerahkan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) yang setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM),” katanya di sini semalam.
Harunarasid berkata, pelajar lepasan tingkatan tiga yang berminat boleh memohon secara dalam talian menerusi pautan http://spskt4.moe.gov.my. dan pemohon akan menduduki pentaksiran berpusat yang ditetapkan di seluruh negara.
“Pemohon akan menjalani Pentaksiran Kemasukan merangkumi tiga bahagian iaitu kecerdasan insaniah (20 peratus), kecerdasan intelektual (70 peratus) dan artikulasi penulisan (10 peratus).
“Proses rayuan kemasukan ke Kolej Vokasional boleh dibuat bermula 5 hingga 19 Februari 2021 bagi pemohon yang gagal,” katanya.
Orang ramai boleh menghubungi KVBP di talian 04-8666228 atau 04-8666379 untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kemasukan ke kolej vokasional itu sesi pengambilan 2021. – UTUSAN ONLINE