RANTAU PANJANG: Seorang pengedar pil kuda dicekup anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan di Kampung Gual Sitok di sini awal pagi ini dan merampas daripadanya 32 biji pil berkenaan yang dianggarkan bernilai RM320..
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Superintendan Azhari Nusi berkata, serbuan dibuat pukul 4 pagi.
Menurutnya, bertindak atas maklumat sepasukan anggota PGA melakukan serbuan di sebuah rumah dekat Kampung Gual Sitok.
“Semasa serbuan dilakukan, kita telah menahan suspek berusia 47 tahun dan merampas sebuah beg silang.
“Pemeriksaan ke atas beg silang itu membawa kepada penemuan 32 bijil pil kuda yang disimpan dalam satu bekas plastik,” katanya.
Azhari memberitahu, suspek bersama rampasan itu dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk siasatan lanjut.
Katanya, saringan ujian air kencing terhadap suspek mendapati positif dadah jenis Opiet dan Meth.
“Kes ini disiasat bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952,” ujarnya.
Azhari berkata, hasil risikan awal mendapati suspek merupakan pengedar pil kuda di sekitar Rantau Panjang. – UTUSAN ONLINE