ALOR SETAR: Seorang kerani kerugian RM45,000 apabila barang perhiasan emas miliknya lesap akibat terpedaya dengan seorang bomoh kononnya terdapat makhluk halus di rumah mangsa di Padang Sanai, Padang Terap dekat sini.
Suspek, 50-an yang kini diburu polis mencuri barang perhiasan emas itu setelah memperdaya mangsa dalam satu ritual mengelak gangguan makhluk halus tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Superintenden Elias Omar berkata, mangsa berputih berusia 44 tahun didatangi suspek yang mendakwa kononnya ada makhluk halus jatuh di atas bumbung rumahnya Januari lepas.
“Suspek memberitahu semua barang perhiasan emas dalam rumah tersebut mendatangkan mudarat lalu meminta mangsa menyerahkan barang itu kepadanya. Barang tersebut dibalut dengan kain putih dan disimpan dalam almari,” katanya di sini hari ini.
Tambah beliau, suspek juga mengarah mangsa untuk tidak menyentuh kain tersebut kecuali dirinya sahaja.
“Seminggu kemudian suspek datang semula ke rumah mangsa dan memeriksa balutan kain tersebut tanpa dilihat mangsa sebelum menyerahkan tiga bentuk cincin emas yang boleh dipakai semula, “ ujarnya.
Jelas beliau, mangsa hanya mengetahui suspek adalah bomoh palsu dan mencuri barang kemas pada 8 September lepas daripada orang kampung.
“Mangsa membuka balutan kain putih itu dan menyedari barang perhiasan emas diganti dengan rantai tangan palsu.
“Dia membuat laporan polis di Padang Sanai pada 25 Oktober lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Elias memberitahu, terdapat empat kes lain menggunakan modus operandi sama dipercayai suspek sama dibuat di balai polis sama.
“Usaha mengesan suspek dipergiatkan. Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan penipuan bomoh ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE