PARIS: Hampir dua juta bayi dilahirkan mati setiap tahun dan jumlah itu bersamaan dengan satu kematian dalam tempoh 16 saat.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa pandemik Covid-19 boleh menyebabkan 200,000 lagi kematian berlaku.
Berdasarkan laporan bersama oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kumpulan Bank Sedunia menunjukkan kebanyakan kes kematian kelahiran iaitu kira-kira 84 peratus berlaku di negara berpendapatan rendah serta sederhana.
Laporan itu menyebut kes kematian ketika kelahiran berlaku akibat perkhidmatan kesihatan yang teruk termasuk kekurangan peralatan perubatan dan ubat-ubatan yang bersesuaian.
Tidak seperti penurunan ketara membabitkan kadar kematian ibu dan bayi secara global, kes kematian ketika kelahiran terus meningkat terutamanya di Afrika dan Asia Tenggara.
Pengarah Eksekutif UNICEF, Henrietta Fore berkata, kehilangan bayi ketika kelahiran atau semasa tempoh mengandung merupakan igauan ngeri untuk setiap ibu dan keluarga.
“Selain cabaran psikologi, golongan wanita yang kehilangan bayi juga harus berdepan dengan masalah kewangan, keluarga serta masyarakat di sekeliling mereka,” katanya.
Selain itu, laporan tersebut menjangkakan sebanyak 50 peratus perkhidmatan kesihatan terjejas di negara-negara miskin dan sederhana akibat pandemik Covid-19.
Malahan, pengarah UNICEF untuk data dan analitik, Mark Hereward memberitahu bayi di seluruh dunia juga boleh dijangkiti wabak berkenaan walaupun jika golongan ibu tidak pernah dijangkiti Covid-19.
“Pertama sekali, isu ini berlaku kerana tahap kemiskinan yang terus meningkat akibat kemelesetan ekonomi dunia,” ujarnya.
Hereward menegaskan bahawa tanpa tindakan segera di- lakukan, kira-kira 20 juta kematian ketika kelahiran dijangka berlaku menjelang 2030.
Dalam pada itu, jelas PBB, lebih 40 peratus kematian kelahiran berlaku ketika proses bersalin.
Situasi itu boleh dielakkan sekiranya proses bersalin ditemani oleh pakar kesihatan atau bidan terlatih.
Seorang wanita dari Rwanda, Sabine Uwizeye, 35, menceritakan bagaimana dia kehilangan bayinya sewaktu bersalin ketika kehamilannya masuk minggu ke-37.
“Saya tahu ada yang tidak kena dan doktor terus memaklumkan bayi saya sudah meninggal dunia. Saya tidak percaya dan menangis semahunya.
“Tali pusat bayi saya mempunyai masalah dan itu menjadi punca kepada kematiannya,” jelasnya.
Sehubungan itu, Uwizeye menasihatkan agar semua wanita hamil supaya sentiasa memantau kesihatan bayi dalam kandungan.
Sementara itu, laporan tersebut juga menemukan perbezaan signifikan berkaitan status sosio ekonomi sesebuah negara.
Sebagai contoh, di Nepal, golongan wanita kasta rendah mencatatkan lebih banyak kadar kematian kelahiran iaitu 40 hingga 60 peratus berbanding wanita kasta tinggi.
Di Kanada pula, komuniti Inuit mempunyai kadar kematian kelahiran hampir tiga kali ganda daripada populasi umum. – AFP