Dua dicekup kes curi Pajero selesai - Utusan Malaysia

Dua dicekup kes curi Pajero selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Penahan dua lelaki oleh anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Kelantan berjaya merungkai kes kecurian sebuah pacuan empat roda yang dilaporkan hilang di tepi jalan berhampiran Masjid Muhammadi, Rantau Panjang di sini, Isnin lalu.

Dua lelaki itu ditahan anggota Aksem Kelantan pada pukul 7.30 pagi selepas memandu kereta jenis Honda Civic dalam keadaan mencurigakan pada hari yang sama.

Ketika ditahan oleh anggota Aksem Kelantan, agensi berkenaan turut menemui satu paket lutsinar dipercayai dadah jenis syabu dalam pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero dan saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek berusia 46 dan 37 tahun itu positif  Methampethamine.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, selain itu gambar berkait kes mencuri pacuan empat roda tersebut turut ditemui dalam telefon bimbit milik salah seorang suspek.

Menurutnya, susulan penahanan dua suspek yang turut mempunyai rekod lampau, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas melakukan serbuan di Taman Kenerak pada pukul 12.45 tengah hari.

“Selain merampas sebuah pacuan empat roda, polis turut menahan tiga lelaki termasuk seorang pemilik rumah masing-masing berusia antara 25 hingga 28 tahun.

“Kesemua suspek yang ditahan itu positif dadah jenis Methampethamine dan dua dari mereka mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Roy memberitahu, siasat awal mendapati dua suspek yang dicekup anggota Aksem Kelantan mengaku mencuri kenderaan pacuan empat roda itu.

Katanya, kedua-dua suspek kemudian menghantar kenderaan tersebut ke sebuah rumah di Taman Kenerak.

“Kedua-dua suspek (yang ditangkap awal itu) telah mengaku mencuri kenderaan tersebut dengan mengumpil pintu dan kemudian menyambungkan wayar pada bahagian suis,” ujarnya.

Mohamad Roy Suhaimi berkata, bagaimanapun, dua lelaki yang berada dalam rumah berkenaan mengaku tidak terlibat dalam kes tersebut.

Katanya, semasa serbuan dilakukan kedua-dua suspek hanya kebetulan berada di rumah berkenaan.

“Sementara, pemilik rumah berkenaan tidak mengaku terlibat dalam kes mencuri kenderaan.

“Dia (pemilik) hanya mengesahkan bahawa pacuan empat roda tersebut dihantar ke rumahnya oleh kedua-dua suspek itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya