BUTTERWORTH: Polis menahan tiga wanita yang dipercayai terlibat dalam kegiatan lumba haram di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini awal pagi tadi.
Mereka yang berusia antara 21 tahun hingga 32 tahun itu bekerja sebagai operator kilang serta peniaga ditahan dalam operasi selama tujuh jam berakhir pukul 6 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, ketiga-tiga wanita berkenaan didapati menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya di lebuh raya itu.
“Mereka disyaki berlumba dari Plaza Tol Bagan Ajam ke arah jejambat Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) sebelum berpatah balik ke plaza tol arah Sungai Dua.
“Hasil ujian saringan air kencing kesemua mereka bagaimanapun negatif,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Noorzainy, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE