PORT DICKSON: Berita kononnya seorang kanak-kanak dilarikan seorang lelaki di
Pantai Teluk Kemang, dekat sini seperti yang tular dalam media sosial kelmarin adalah tidak benar.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan kehilangan kanak-kanak perempuan seperti yang ditularkan.
“Berita di mana seorang kanak-kanak perempuan dilarikan seorang lelaki Melayu sejauh 3.5 kilometer dan ditinggalkan di hujung pantai adalah tidak benar kerana tiada sebarang laporan polis diterima berhubung kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aidi Sham berkata, bagaimanapun, pada 2.30 petang semalam, pihaknya dimaklumkan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun hilang di pantai tersebut.
“Kanak-kanak ini ditemukan semula pada pukul 3 petang oleh pengusaha bot di kawasan Pantai 2 Teluk Kemang dan diserahkan dengan selamat kepada ibu bapanya.
“Dia dipercayai tersesat dan hilang daripada pandangan keluarga disebabkan kesesakan pengunjung yang membanjiri kawasan tersebut ekoran cuti umum,” katanya.
Menurutnya, jarak tempat hilang dan kanak-kanak itu dijumpai adalah kira-kira 100 meter dari kawasan ahli keluarganya berkumpul.
“Menurut bapa kanak-kanak itu, mereka sekeluarga ke Port Dickson bersama empat anak berusia dua tahun hingga 12 tahun. Mereka sekeluarga datang dari Cheras, Kuala Lumpur dengan tujuan bercuti sambil beriadah di Pantai Teluk Kemang,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai dan pengunjung pantai supaya sentiasa memastikan keselamatan ahli keluarga ketika beriadah di pantai itu serta menjaga jarak sosial sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). – UTUSAN ONLINE