KUALA LUMPUR: Tentera Darat tidak berkompromi terhadap mana-mana pegawai dan anggota jika didapati terlibat dengan sebarang perlakuan yang menyalahi undang-undang.
Tentera Darat dalam satu kenyataan menjelaskan, sehubungan itu, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kes membabitkan kematian seorang anggota perkhidmatan itu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, pihaknya sentiasa terbuka dan terus memberikan kerjasama serta bantuan kepada PDRM untuk siasatan lanjut.
“Batalion ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (10 RAMD) telah membuat laporan polis pada 29 Ogos pukul 9.53 pagi di Balai Polis Batu Pahat dan pihak keluarga anggota turut membuat laporan polis di Ibu Pejabat Kontigen (IPK) Ipoh, Perak atas dakwaan anggota telah didera sebelum ini.
“ Pakar forensik dan PDRM telah melawat lokasi kejadian di Batalion ke-10 RAMD pada 7 September untuk mengesahkan laporan bedah siasat adalah konsisten dengan situasi tempat kejadian,” katanya semalam.
Dalam kejadian hujung bulan lalu, Prebet Abdul Aziz Mohamad Amirulnaim, 20 meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga kuartersnya di Kem Majidee, Batu Pahat, Johor.
Anggota Tentera Darat itu meninggal dunia pada pukul 2,30 petang selepas menerima rawatan di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Nora Ismail.