GEORGETOWN: Sepasang suami isteri bersama seorang anak lelaki dipercayai orang kurang upaya (OKU) sindrom down mengalami sesak nafas selepas bilik sewa yang didiami mereka terbakar di Jalan Utama di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, ketiga-tiga mangsa berada di bilik tingkat atas diselamatkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak yang tiba di lokasi kejadian.
Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Balai itu, A’ Azelan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 7.03 pagi dan kurang 10 minit kemudian.
Menurutnya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian mendapati kebakaran berlaku melibatkan sebuah billik hostel kos rendah yang terbakar sepenuhnya.
“Terdapat tiga mangsa mengalami gangguan pernafasan terdiri pasangan lelaki dan wanita termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun.
“Tindakan anggota adalah mmemadamkan kebakaran sehingga selesai dengan dibantu pasukan Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal,” katanya di sini pagi ini. – UTUSAN ONLINE