Rasuah polis RM50, pekerja asing dipenjara 3 bulan - Utusan Malaysia

Rasuah polis RM50, pekerja asing dipenjara 3 bulan

ARIFUL (kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak setelah dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM10,000 selepas mengaku bersalah merasuah anggota polis. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pekerja ladang warga Bangladesh dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memberi suapan RM50 kepada anggota polis, awal bulan ini.

Hakim S. Indra Nehru membuat keputusan tersebut setelah tertuduh, Ariful, 41, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Mengikut pertuduhan, Ariful didakwa memberi suapan RM50 kepada Koperal Mohammad Azuan Ali supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya di hadapah sebuah bank di Jalan Stesen, Kampung Manggis dekat Tanjung Malim pada pukul 9.45 malam, 6 September lalu.

Perbuatan rasuah tersebut didiakwa dilakukan tertuduh sebagai dorongan untuk tidak diambil tindakan undang-undang atas kesalahan memiliki 13 karton rokok seludup mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibaca bersama Seksyen 24 akta yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nurul Wahida memohon mahkamah mengenakan hukuman yang berat terhadap tertuduh memandangkan kesalahan serius merasuah anggota polis selain memiliki rokok seludup juga kesalahan yang serius.

Terdahulu, Ariful memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang ringan kerana tertuduh adalah penyara tunggal enam adik-beradiknya di Bangladesh.

Indra Nehru kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan bermula hari ini dan denda RM10,000 terhadap tertuduh.

Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tambahan selama tiga bulan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya