Percaturan K. Devan menjadi - Utusan Malaysia

Percaturan K. Devan menjadi

AHMAD Syamim Yahya (kanan)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Biarpun hanya membawa pulang satu mata, K. Devan tetap berpuas hati dengan perubahan taktikalnya pada separuh masa kedua sehingga berjaya menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan dan mengikat Melaka United 1-1 semalam.

Pengendali Petaling Jaya City FC (PJ City) itu menganggap jaringan sebelum wisel penamat dibunyikan hasil percaturannya memasukkan dua penyerang gantian dan seorang pemain tengah termasuk penjaring gol, R. Kogileswaran diterjemahkan dengan baik oleh pemain.

Ujar Devan, mereka memang bermain secara bertahan pada babak pertama selepas melihat Melaka United FC bermula dengan baik termasuk memiliki beberapa percubaan berbahaya sepanjang 45 minit pertama.

“Babak kedua nampak kita bermain lebih baik, walau bagaimanapun pada minit ke-71 mungkin konsentrasi pemain sedikit alpa dan membuat kesilapan sehingga lawan dapat menjaringkan gol pembukaan.

“Maka, kita buat keputusan membawa masuk pemain bahagian serangan, Kogileswaran dan Safee Sali kerana ini liga dan kita perlukan mata dan hasilnya kita berjaya menyamakan kedudukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas aksi di Stadium Hang Jebat, semalam.

PENYERANG Melaka United, Uche Agba (kiri) meyekat kemaraan pemain PJ City FC, K. Kannan dalm aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput semalam. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD

Dalam pertemuan itu, lorongan cantik K. Gurusamy pada minit ke-92 disudahkan dengan kemas oleh Kogileswaran yang berjaya memadam kelebihan 1-0 skuad Hang Tuah hasil jaringan Romel Oswaldo Morales pada minit ke-71.

Devan berkata, pujian harus diberikan kepada anak-anak buahnya yang mempamerkan reaksi positif biarpun ketinggalan satu gol dan percaya sekiranya peluang dapat dimanfaatkan dengan baik The Phoenix mampu memenangi perlawanan itu.

“Malah, jika kita dapat meneruskan rentak sebegini dalam tiga perlawanan terakhir sekurang-kurangnya dengan dua kemenangan, saya percaya peluang kita untuk kekal di Liga Super musim depan masih cerah,” katanya.

Sementara itu, kegagalan Melaka United memanfaatkan aksi di tempat sendiri untuk mengutip tiga mata berharga disifatkan sebagai satu kerugian besar oleh Ketua Jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan.

Zainal percaya skuad kendaliannya lebih layak untuk memenangi perlawanan tersebut, namun kealpaan di saat-saat akhir membuatkan mereka dihukum, sekali gus terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

“Bagi saya ini memang satu kerugian. Kita hilang dua mata yang amat berharga. Selepas membuat beberapa perubahan taktikal di babak kedua, kita berjaya melakukan serangan dan akhirnya menjaringkan gol.

“Namun kealpaan di saat-saat akhir inilah yang mendera kita apabila PJ City mendapat satu-satunya peluang di masa kecederaan dan berjaya menyudahkannya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya