Lagi 28 hari, jangan tunggu saat akhir - Utusan Malaysia

Lagi 28 hari, jangan tunggu saat akhir

MOHD. SHAHAR ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kementerian Kewangan bimbang masih ramai peminjam yang belum menghubungi pihak bank bagi mendapatkan kemudahan lanjutan moratorium pembayaran pinjaman dan bantuan bank bersasar yang mana permohonannya berakhir hujung bulan ini.

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd. Shahar Abdullah berkata, dalam tempoh kira-kira 28 hari lagi, peminjam yang layak perlu segera berbuat demikian kerana pihak bank memerlukan masa sebelum meluluskan permohonan.

“Saya nasihatkan mereka yang layak menerima moratorium bersasar ini segera ke bank atau institusi kewangan bagi mengadakan perbincangan.

“Peluang ini perlu digunakan sebaik mungkin oleh peminjam terutama yang kehilangan kerja dan sumber pendapatan terjejas teruk akibat Covid-19.

“Pergi ke bank dan berbincang dengan pihak bank untuk memudahkan pengurusan kewangan mereka kerana kita pun tidak pasti sampai bila masalah (Covid-19) berakhir,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas tentang Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020, Mohd. Shahar berkata, kira-kira RM30 bilion daripada RM45 bilion yang dilulus diperuntukkan bagi membantu rakyat.

Kata beliau, peruntukan itu merangkumi 72 peratus daripada jumlah keseluruhan dana diluluskan.

“Jumlah ini membuktikan kesungguhan kerajaan membantu meringankan bebanan rakyat dan bagi memastikan bantuan secara bersasar dapat diteruskan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

“Kalau kita lihat kepada keseluruhan peruntukan dalam RUU Covid-19, sebanyak 72 peratus ditumpukan kepada usaha menyokong atau membantu rakyat manakala bagi sektor perniagaan pula, kita memperuntukkan 12 peratus dan 16 peratus lagi adalah bagi tujuan merangsang ekonomi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya