BUTTERWORTH: “Kalaulah ayah tidak ke bilik atas untuk cuba memadamkan api, mungkin dia terselamat.
“Kami sekeluarga reda dan menganggapnya sebagai satu ujian daripada Allah SWT.
Itu luahan Azizi Azali, 36, anak sulung Azali Saad yang maut dalam kebakaran rumah teres dua tingkat di Lorong Laksamana, Taman Telok Molek, di sini semalam.
Azizi berkata, bapa, ibu dan adik bongsunya menyewa bilik di rumah teres terbabit sejak lima tahun lalu.
Katanya, ketika kejadian, adiknya, Khairil, 25, sedang tidur di bilik atas meminta ibu bapanya yang berada di bilik bawah supaya menyelamatkan diri.
“Bagaimanapun, ayah membawa sebaldi air dan naik ke bilik untuk cuba memadam api sebelum terperangkap disebabkan asap tebal yang memenuhi bahagian atas rumah.
“Adik cuba menyelamatkan ayah namun gagal dan dia kini dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana sesak nafas akibat tersedut asap.
“Emak dan seorang lagi penyewa wanita bersama dua anaknya berjaya menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kepala Batas (HKB) di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mayat mangsa yang berusia 64 tahun ditemukan di dalam bilik tingkat atas yang disewanya oleh pasukan bomba.
Azizi berkata, semalam adalah kali terakhir dia bertemu bapanya ketika mahu mengambil cukai kenderaan di rumah terbabit.
“Saya bawa isteri dan anak-anak bersama dan ayah kurang bercakap serta tidak banyak memberikan respon ketika berbual.
“Saya sempat menghulurkannya duit belanja dan alangkah pilunya hati apabila pihak bomba menyerahkan kembali wang terbabit bersama jam tangan dan telefon pintar miliknya yang ditemui di tempat kejadian,” katanya. – UTUSAN ONLINE