Warga China direman cuba sogok anggota PGA - Utusan Malaysia

Warga China direman cuba sogok anggota PGA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Mahkamah Sesyen di sini membenarkan seorang warga China direman selama tujuh hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes cubaan merasuah anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan nilai keseluruhan kira-kira RM16,367, pada 12 Ogos lalu.

Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Hakim Ainul Shahrin Mohamad selepas mendapat permohonan Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Salizawaty Abd Samad.

Suspek yang berusia 40-an itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Pada 12 Ogos lalu, PGA telah menahan seorang warga China di sempadan Malaysia-Thailand berdekatan Padang Besar kerana cuba menyogok anggotanya dengan wang tunai dan dua jam tangan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, lelaki terbabit cuba menyogok sejumlah AS$3,069 (RM12,844) dan dua jam tangan mewah dianggarkan bernilai RM3,500 kepada anggota PGA yang bertugas.

Tujuan suspek menawarkan sogokan tersebut supaya anggota PGA yang bertugas melepaskannya dari kesalahan memasuki Malaysia tanpa melalui Pos Kawalan Imigresen.

Malah lelaki tersebut turut memiliki dua buah pasport Republic Of China dipercayai milik orang lain dan menceroboh pagar keselamatan sempadan di kawasan Tiang TNB 23 BKC 7.

Anggota yang bertugas telah beberapa kali memberi amaran kepada suspek untuk tidak menyogok mereka, namun tidak diendahkan.

Malah, suspek juga cuba menambah jumlah sogokan itu jika wang yang ditawarkan tidak mencukupi.

Lanjutan itu, PGA telah menahan lelaki tersebut dan merampas 50 keping wang tunai dolar Amerika Syarikat (AS) bernilai RM12,869 serta dua jam tangan. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya