SEREMBAN: Sambutan Hari Kebangsaan Ke-63 Peringkat Negeri Sembilan semalam berlangsung ringkas dan sederhana mengambil kira pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam menangani penularan pandemik Covid-19 semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Diadakan di Padang Majlis Bandaraya Seremban dekat sini, sambutan diadakan secara tertutup dengan hanya membabitkan orang kenamaan, pemimpin negeri dan ketua jabatan serta petugas barisan hadapan.
Sambutan bermula kira-kira pukul 8.40 pagi dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud yang berkenan mencemar duli hadir.
Turut hadir Datuk-datuk Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Datuk Syahbandar Sungai Ujong.
Sambutan kemudian diteruskan dengan nyanyian lagu Kebesaran Negeri Sembilan diikuti upacara menaikkan Jalur Gemilang dengan iringan lagu Negaraku oleh pasukan Pancaragam Pusat Latihan Muzik Tentera Darat (Puzida) dan Pasukan Brass Band Wanita Rejimen Semboyan Diraja, Kem Sungai Besi.
Majlis seterusnya diikuti dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun kemudiannya mengetuai bacaan ikrar Rukun Negara yang turut disertai oleh Ahli-ahli Exco kerajaan negeri, ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ketua-ketua jabatan.
Sambutan kemudian tamat kira-kira pukul 9 pagi dengan keberangkatan pulang Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Rohani.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas sambutan berkenaan, Aminuddin menjelaskan, majlis serba ringkas dan sederhana itu perlu dilakukan bagi mematuhi SOP ditetapkan dan beliau berharap sempena sambutan kemerdekaan ke-63, rakyat dapat terus menguatkan semangat untuk menghadapi pandemik Covid-19.
“Alhamdulillah, sambutan selesai dalam tempoh singkat kerana itulah amalan kita untuk memastikan SOP dipatuhi. Kita juga memang menghadkan kehadiran di samping kita buat majlis ini secara tertutup walaupun dibuat di tempat biasa kita menyambut kemerdekaan tapi kita masih menjaga SOP.
“Sempena kemerdekaan ini kita harus kuatkan semangat dalam menghadapi Covid-19. Saya berharap Negeri Sembilan dapat terus bebas daripada pandemik ini dan rakyat dapat mematuhi SOP. Di samping keamanan dan kesejahteraan yang kita nikmati hari ini, kita berdoa bersama-sama agar negara kita dapat bebas dari Covid-19,” katanya. – UTUSAN