DUNGUN: Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemukan terapung di kawasan menyedut pasir di Sungai Kampung Padang Pulut, Dungun, kira-kira pukul 1 petang ini.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mayat yang tidak berpakaian itu ditemui pekerja di kawasan tersebut.
“Mayat dianggarkan berumur 40-an dan berdasarkan keadaan mayat yang sudah membengkak kita percaya lelaki itu sudah meninggal dunia kira-kira empat hari lalu,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Baharudin, pemeriksaan yang dijalankan pasukan forensik tidak menemukan sebarang unsur jenayah pada badan mangsa.
“Polis tidak menerima sebarang laporan mengenai orang hilang sepanjang minggu ini dan akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan waris mangsa.
“Sesiapa yang kehilangan ahli keluarga diminta tampil membuat laporan polis,” katanya.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Dungun untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN ONLINE